UMNO tidak gemar menerima orang lain kedalam kumpulan mereka, mereka ibarat membahagi-bahagikan harta rampasan perang sesama mereka saja. UMNO lebih suka pintunya tertutup sedangkan parti yang satu lagi itu suka membuka pintunya seluas-luasnya kepada sesiapa saja.
"Mengkritik tidak bererti menentang, Memuji tidak semestinya menyokong, Menegur tidak bermakna membenci, Dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik"

Tuesday, September 8, 2009

Wayang Di Perak

Oleh AZNAN BAKAR
pengarang@utusan.com.my

RABU lalu, bandar raya Ipoh kecoh lagi. Dan sekali lagi kekecohan itu ditimbulkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada pakatan pembangkang.

Puncanya hanya kerana mereka mahu mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka sendiri. Pada hal mahkamah telah memutuskan bahawa Barisan Nasional (BN) yang berhak memerintah negeri itu.

Maka untuk mendapat perhatian dan publisiti, ADUN pembangkang di negeri itu terpaksa "main wayang" dengan memanggil satu 'sidang DUN'.

Tetapi daripada apa yang berlaku pada hari itu, termasuk insiden ADUN pembangkang terbabit bertengkar dengan polis semuanya seperti telah dirancang. Skripnya seolah-olah telah diatur sejak awal lagi.

Skrip wayang itu bermula dengan bekas speaker, S. Sivakumar memanggil sidang DUN haram itu. Kemudian para ADUN terbabit hadir pada hari yang ditetapkan dan berarak ke Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Di situ mereka dihalang oleh polis maka tercetuslah ketegangan antara pemimpin dan penyokong mereka dengan pihak polis.

Setelah puas berdrama di jalan raya mereka menuju ke hotel di mana segala-galanya sudah disusun dan disediakan untuk mereka bermesyuarat.

Skripnya jelas. Hotel sudah tentu ditempah dari awal. Susun aturnya ala sidang DUN itu juga tentunya telah diarahkan dari awal.

Tetapi untuk menunjukkan bahawa hasrat mereka itu dihalang, ADUN-ADUN pembangkang itu perlu juga berarak di jalan. Apabila berarak sudah tentu polis akan bertindak. Dengan itu mereka akan mendapat publisiti yang diinginkan.

Setelah sekian lama agak tenggelam, hari Rabu lalu mereka kembali mendapat publisiti di media.

Dengan cara itu juga mereka dapat menunjukkan kononnya polis bertindak kasar. Malah polis didakwa telah menghalang mereka melaksanakan 'proses demokrasi'.

Sedangkan mahkamah jelas memutuskan bahawa BN lebih berhak mentadbir Perak. Nampaknya, undang-undang dan apa yang diputuskan oleh mahkamah tidak penting pada kumpulan ini.

Pada mereka, yang paling penting ialah mencapai cita-cita peribadi dan mendapatkan publisiti murahan walau dengan apa cara sekalipun.

Tindakan ADUN Setiawan, Ngeh Koo Ham yang bertegang leher dengan polis juga seolah-olah telah dirancang.

Kenapa perlu bertekak dengan polis kalau tempat bermesyuarat di hotel yang berhawa dingin telah siap ditempah? Untuk apa semua itu kalau bukan untuk publisiti murahan?

Untuk membolehkan mereka bermesyuarat di hotel itu sudah tentu ia perlu ditempah dari awal. Kalau sudah tempah dewan di hotel kenapa perlu lagi untuk berarak di jalan raya hingga mencetuskan ketegangan dengan pihak polis?

Tidakkah itu disengajakan? Tidakkah itu kekecohan yang dirancang dan disengajakan supaya mereka boleh mendakwa pihak polis kejam?

Inilah demokrasi yang didokong oleh kumpulan terbabit.

Sebagai wakil rakyat yang dipilih melalui pilihan raya yang sah, mereka sepatutnya menumpukan kepada usaha-usaha untuk membantu dan memajukan rakyat.

Inilah masanya untuk mereka membuktikan kepada penduduk yang diwakili bahawa mereka jauh lebih baik daripada wakil rakyat BN sebelum ini.

Inilah juga masa untuk mereka membuktikan segala kata dan janji ketika kempen bahawa rakyat akan mendapat "pemimpin yang lebih baik".

Tetapi dengan wayang demi wayang dan lakonan demi lakonan, bilakah masanya mereka akan berbakti kepada rakyat?

Kedudukan kumpulan yang berhak memerintah negeri sudah jelas. Kini BN yang lebih berhak. Selain pakatan pembangkang kehilangan majoriti ekoran dua ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertindak keluar parti itu, mahkamah juga membuat keputusan yang tidak memihak kepada mereka.

Sebagai pemimpin-pemimpin dan kumpulan yang selalu melaung-laungkan konsep demokrasi, sepatutnya hormatilah keputusan itu.

Apa yang mereka dapat daripada mesyuarat yang diadakan hari itu? Bolehkan keputusan atau usul yang kononnya dibangkit dan dibentangkan pada mesyuarat itu dilaksanakan? Jika tidak boleh, tidakkah itu namanya buang masa? Atau boleh dikatakan lakonan untuk mendapat perhatian dan tumpuan?

Sebelum ini mesyuarat yang diadakan di bawah pokok juga tidak memberikan apa-apa manfaat kepada rakyat.

Hanya ADUN terbabit sahaja yang mendapat liputan meluas pihak media termasuk media antarabangsa.

Rakyat pula hanya mampu melihat dari jauh. Terpinga-pinga dengan apa yang terjadi. Nasib mereka tidak juga berubah.

Wakil rakyat telah berubah daripada BN kepada pembangkang dengan harapan akan ada perubahan. Tetapi nasib mereka tetap sama.

Sudahlah hasil mesyuarat sekadar masuk angin keluar asap. Masalah yang berkaitan dengan rakyat tidak satu pun dibangkitkan.

Sama ada ketika mesyuarat di bawah pokok mahupun yang di hotel itu. Isu yang dibangkitkan semuanya hanya berkenaan dengan hal untuk mengekalkan status quo ADUN-ADUN terbabit.

Dalam lain perkataan, semuanya untuk kepentingan peribadi dan untuk mengisi tembolok sendiri. Sampai ke tahap sanggup berlakon dan bersandiwara.

Seperti kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin: "Mahkamah sudah buat keputusan, desak macam mana pun tak jalan... ikut prinsip Perlembagaan, mahkamah dah tetapkan Menteri Besar dan kerajaan sah jadi apa lagi nak desak?"

Tentu ADUN pembangkang yang semuanya bijak-bijak itu faham akan keputusan mahkamah tersebut. Tetapi mungkin ada kumpulan rakyat yang tidak faham.

Mereka seperti mahu menggunakan wayang ini untuk mengabui dan mempengaruhi rakyat supaya membenci BN.

Mungkin ada juga yang terhibur apabila melihat gelagat ADUN-ADUN terbabit. Setelah berpeluh-peluh dan kering air liur bertegang leher dengan pihak polis mereka dengan mudah bergerak ke hotel tersebut.

Jelas dan nyata tempat telah tersedia untuk mereka. Semuanya sudah disusun cantik termasuk gelas berisi air tersedia di atas meja.

Setelah menyaksikan gelagat dan lakonan itu, terpulang kepada rakyat untuk menilai wakil rakyat mereka.

Dari situ boleh dinilai bentuk pemimpin yang macam mana yang dimahukan. Tepuk dada tanya selesa.

Dulu orang selalu berkata, terlajak perahu boleh diundur. Tetapi orang zaman ini yang tersalah memangkah terpaksa tunggu lima tahun lagi untuk merubah.

PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

No comments: