UMNO tidak gemar menerima orang lain kedalam kumpulan mereka, mereka ibarat membahagi-bahagikan harta rampasan perang sesama mereka saja. UMNO lebih suka pintunya tertutup sedangkan parti yang satu lagi itu suka membuka pintunya seluas-luasnya kepada sesiapa saja.
"Mengkritik tidak bererti menentang, Memuji tidak semestinya menyokong, Menegur tidak bermakna membenci, Dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik"

Sunday, November 8, 2009

PAS Dah Tutup Pintu

"...PAS wajar segera menegaskan kepada semua peringkat, kepada ahli-ahli, pimpinan tertinggi, sehingga ke akar umbi, bahawa, telah dikunci dengan ketat segala pintu-pintu perbincangan dalam parti tentang agenda Kerajaan Perpaduan...", Resolusi Seminar Memperkasakan Parti.

"Tak mungkin dibangkitkan lagi kerana kita dah tutup. Ini pendirian PAS, pendirian Pakatan Rakyat," kata Abdul Hadi Awang, selaku Presiden PAS ketika menjawab soalan tindakan yang akan diambil terhadap pemimpin yang membangkitkan isu Kerajaan Perpaduan pada masa depan.

Demikianlah kesudahannya, apabila Seminar Memperkasakan Parti melabuh tirai selepas lebih lapan jam persidangan kira-kira 1,500 perwakilan di Markas Tabbiyah Pusat Taman Melewar, Kuala Lumpur pada hari ini. Resolusi yang dirangka selepas melalui sesi percambahan minda, dialog dan perbahasan ucaptama Presiden ini, mungkin tidak bertaring, namun tetap memihak kepada "pro-Pakatan".

Apabila isu pokok "pilihan antara PR dengan BN", tidak dinyatakan dengan jelas, malah lebih dilihat sebagai "antara Nik Aziz dengan Hadi Awang", maka kedua-dua pihak agak sukar untuk meramal kecenderungan perwakilan yang sebenarnya. Antara yang membela Hadi, menjelaskan "masuk UMNO" adalah fitnah semata-mata, mengandaikan UMNO sebagai musuh yang jahat.

Perwakilan yang mempertahankan Hadi tidak semestinya inginkan kerjasama dengan UMNO-BN, tetapi tidak sanggup melihat Hadi dituduh berbuat demikian. Dengan kata lain, walaupun mungkin ramai yang mempertahankan pimpinan Hadi dan pasukannya, namun tidak bermakna bahawa mereka inginkan kerjasama PAS dengan UMNO-BN.

Justeru itu, apabila Resolusi yang berbunyi "...dikunci dengan ketat segala pintu-pintu perbincangan dalam parti tentang agenda Kerajaan Perpaduan" dibacakan, perwakilan terpaksa bangun dan menyahut untuk menyetujuinya, walaupun mungkin masih teragak-agak apakah resolusi sedemikian pro-Hadi?

Resolusi yang diluluskan perwakilan telah mengunci pintu rundingan bersama UMNO dengan ketat. Isyaratnya mudah difahami-- walaupun pintu tetap boleh dipecahkan, tetapi sudah pastinya, amanah akan terpecah dahulu sebelum pintu rundingan Kerajaan Perpaduan ditembusi. Sebagai seorang pemimpin parti Islam, apakah Hadi Awang sanggup pecah amanahnya?

No comments: