UMNO tidak gemar menerima orang lain kedalam kumpulan mereka, mereka ibarat membahagi-bahagikan harta rampasan perang sesama mereka saja. UMNO lebih suka pintunya tertutup sedangkan parti yang satu lagi itu suka membuka pintunya seluas-luasnya kepada sesiapa saja.
"Mengkritik tidak bererti menentang, Memuji tidak semestinya menyokong, Menegur tidak bermakna membenci, Dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik"

Sunday, November 8, 2009

Penyokong Kelantan Memalukan

Sungguh memalukan, itulah ayat yang paling sesuai kesudahan Perlawanan Akhir Piala Malaysia diantara Kelantan dan Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam. Kejadian kerusi dibakar, balingan mercun bukanlah budaya kita namun penyokong Kelantan seakan menjadikan ia budaya untuk dihalalkan.

Walaupun bukan semua penyokong Kelantan bertindak sedemikian, namun hanya secalit tindakan nakal dari penyokong Kelantan akan menyebabkan nama pasukan Kelantan tercalar, itulah hakikat yang terpaksa diterima penyokong Red Wariors.

Dalam tempoh seminggu ini penyokong Kelantan tentu akan dihujani dengan pelbagai sindiran dan cercaan dari media massa dan masyarakat umum ekoran kejadian tersebut.

Presiden KAFA Tan Sri Anuar Musa dan Menteri Besar Tok Guru Nik Aziz pun tentu bersedih dengan keadaan tersebut, begitu juga dengan pencinta bolasepak lain di negeri tersebut. Namun tindakan segelintir beberapa pihak ini membuktikan mereka ini tidak pernah berubah walaupun sebelum ini Kelantan pernah dikenakan tindakan disiplin digantung beraksi di Stadium Sultan Muhammmad ke IV. Ibarat kara pepatah’ Kerana nila setitik rosak susu sebelanga”.

Kemeriahan yang dicanangkan di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam telah diterjemahkan dengan balingan mercun dan kejadian membakar kerusi apabila lawan Kelantan iaitu pasukan Negeri Sembilan mendahului lawan dengan 3 jaringan gol tanpa balas.

Sikap penyokong Kelantan sewaktu aksi final tersebut tidak ubah seperti filem Budak Kelantan yang pernah di terbitakan Grand Brilliance sebelum ini.

Kalau kita memahami filem tersebut, kita tidak akan terkejut dengan pelakuan segelintir penyokong pasukan bolasepak negeri kelantan pada perlawanan semalam.

Dalam filem “Budak Kelantan” ada ditonjolkan watak seorang pemuda bernama “Buchek” yang digambarkan watak putih dan bersih lakonan Danny X Factor, sikap Buchek ini diterjemahkan dengan sikapnya yang tidak tinggal solat dan sentiasa ingin menyelamatkan kawannya dari kejahatan hingga sanggup mengorbankan kebahagian peribadi.

Manakala satu lagi watak yang ditonjolkan ialah watak hitam dan jahat lakonan Asrulfaizal yang memegang watak “Jaha” kejahatan yang dilakukan Jaha adalah sejahat-jahat perwatakan manusia. Hingga tidak terlintas untuk dilakukan oleh manusia normal.

Filem arahan Wan Azli Wan Jusoh ini menterjemahkan nilai sebenar yang ada pada pelakuan orang Kelantan. Walaupun sesetengah adegan ia pahit untuk ditelan oleh orang Kelantan namun itulah hakikatnya yang terpaksa diterima dengan pelakuan kelompok masyarakat sendiri. Namun begitu mungkin sebahagian besar masyarakat Kelantan dapat menerima filem tersebut kerana ia mencerminkan gambaran sebenar orang Kelantan lebih-lebih lagi Wan Azli yang bertindak sebagai Pengarah filem tersebut adalah anak jati Kelantan dan lebih memahami susur galur dan perilaku masyarakat Kelantan.

Seharusnya didalam masyarakat Kelantan sekarang suatu revolusi besar-besaran dilakukan terhadap budaya negatif masyarakat Kelantan. Harus diakui memang banyak budaya positif yang ada pada masyarakat Kelantan, namun pada masa yang sama budaya negatif juga banyak melingkari perwatakan orang Kelantan.

Kepada masyarakat Malaysia janganlah dinilai pada segelintir kejahatan sahaja yang ada pada orang Kelantan. Tindakan menyisih dan membuli herdik orang Kelantan akan menyebabkan jurang masyarakat akan semakin melebar dan tidak memberi kesan yang baik kepada pembangunan masyarakat Malaysia yang wujud daripada konsep kepelbagaian anekaragam budaya dan negeri.

Kepada orang Kelantan, satu revolosi budaya harus dicanangkan oleh tokoh-tokoh ternama negeri dan pihak berkaitan jika negeri tersebut ingin menjadi satu bangsa yang hebat dan dikagumi oleh pihak lain. Seharusnya kepimpinan politik negeri tanpa aliran parti politik mengambil inisiatif untuk menggerakkan usaha ini dengan niat suci untuk membersih imej persepsi negatif yang wujud pada masyarakat Kelantan.

Jika Singapura berjaya mengubah budaya masyarakat pengotornya sewaktu era 1950-an kepada masyarakat yang lebih suka kepada kebersihan. Tidak mustahil orang Kelantan pun mampu melakukannya, lebih-lebih lagi lebih 95 peratus orang Kelantan adalah penganut agama islam yang mahukan umatnya menjadi masyarakat yang bertamadun.
Buat Pasukan Hoben Jang Hoben, tahniah dengan kemenangan menjuarai Piala Malaysia 2009, sememangnya Skuad Rusa layak memenangi perlawanan tersebut dan kepada Kelantan sesungguhnya Kota Rom tidak dibina dalam satu hari, mungkin ada sesuatu yang boleh dipelajari pasukan tersebut untuk persediaan musim akan datang.

No comments: